MY FOLLOWERS

Monday, May 31, 2010

IKHLASKAN DIRI KEPADA ALLAH - I




Kisah ini boleh kita ambil sebagai renungan dan pengajaran.

Rasulullah saw menatap satu persatu para sahabat yang sedang berkumpul dalam satu majlis, hening dan tawadhu.  Tiba-tiba terdengar satu suara memecah keheningan,  “Ya Rasulullah...”  Semua hadirin memberikan perhatian.

“Sekiranya pertanyaanku ini tidak menimbulkan kemurkaan Allah, sudilah engkau menjawabnya.”

“Apa yang hendak engkau tanyakan itu?”, Rasulullah saw bertanya kembali dengan nada suara yang begitu lembut.


Dengan sikap yang agak tegang sahabat itupun langsung bertanya: “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?”


Secara tiba-tiba, bagai petir menyambar, jiwa-jiwa yang tadinya tawadhu, menyentap ketenangan, terhiris luka karena murka terhadap pertanyaan yang keterlaluan itu. Pertanyaan tadi sesungguhnya luar biasa dan dianggap tidak wajar.  Sungguh keterlaluan, setengah sahabat menilainya mengandung ujub (bangga atas diri sendiri) atau riya’. Seperti biasa dengan sikapnya, Umar Ibn Khattab r.a. yang terlebih dahulu bertindak, bangkit untuk mengherdik sahabat yang bertanya. Rasulullah saw menoleh ke arahnya sambil memberi isyarat supaya  menahan diri.


Rasulullah saw menatap ramah, beliau dengan tenangnya menjawab: “Engkau lihatlah ke pintu, sebentar lagi orangnya akan muncul”.

Setiap pasang mata menoleh ke ambang pintu dengan penuh debaran, dan setiap hati bertanya-tanya, siapakah gerangan "orang hebat" yang di sebut oleh Rasulullah saw sebagai AHLI SYURGA itu.

Seketika masa berlalu akhirnya orang yang mereka tunggu itu pun muncul. Setiap wajah kehairanan. Terpegun dan hampir tidak percaya. Setelah orang itu mengucapkan salam kemudian menggabungkan diri ke dalam majlis, kehairanan mereka semakin bertambah.  Sesungguhnya mereka ragu dengan apa yang telah mereka saksikan.

Terdapat kebingungan dan keliru, masakan kata-kata baginda itu suatu yang tidak benar, tetapi jawapan yang diberi oleh Rasulullah saw itu kelihatan amat tidak sesuai dengan apa yang mereka sangkakan.

Manusia yang masuk sebentar tadi itu tidak lebih dari seorang pemuda serba sederhana yang tidak pernah muncul di permukaan. Dalam istilah kemelayuan ia amat sesuai dengan ungkapan  "umpama melukut di tepi gantang".

Ia adalah satu wajah yang tidak pernah mengangkat kepala bila tidak ditanya dan tidak pernah bersuara bila tidak diminta. Ia bukan pula termasuk dalam senarai  sahabat terdekat Rasulullah saw.

Sungguh membingungkan hadirin.  Apa kehebatan pemuda ini?

Setiap hati menunggu penjelasan dari baginda Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda:

“Setiap gerak-geri dan langkah perbuatannya hanya ia ikhlaskan semata-mata mengharapkan redha Allah. Itulah yang membuat Allah menyukainya”.

Betapa tinggi nilai ikhlas dalam amal perbuatan seseorang, sehingga Rasulullah saw menyebutkannya sebagai salah satu syarat untuk menjadi ahli syurga. Kedudukan ikhlas di dalam Islam sememangnya sangat diutamakan, hanya ikhlas dianggap sebagai ukuran amal seseorang kepada Allah SWT .


Allah berfirman:

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan (ikhlas) kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus". (Al Bayyinah: ayat 5)

"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan?" (An-Nisa': ayat 125)


 

Perosak Ikhlas:
Riya’, yang bererti memperlihatkan perbuatan amalan apa sahaja terutamanya ibadah kepada Allah dengan tujuan dilihat oleh manusia, supaya memujinya. Lebih buruk sekiranya mengharap penghargaan dari makhluk dan menjadikan "lakonan" itu sebagai alat untuk mendapat kelebihan di dunia.  Menjual agama dengan harga yang murah.

Sam’ah, menceritakan kebaikan diri dan segala amalan ibadah yang dilakukan, termasuk juga suka memuji diri sendiri. Merasa bangga serta suka menghebahkan segala perbuatan yang dilakukan, yang berarti beramal dengan tujuan untuk didengar dan disanjung oleh orang lain (mencari populariti). Harap pujian dari makhluk.

'Ujub, merasa hairan dan takjub di dalam hati terhadap amal.dan kehebatan diri, walaupun sentiasa menyembunyikan amalannya dari orang ramai. Kategori riya’ yang halus. Masih menyekutukan Allah dengan diri sendiri.

Dalam pengajian TASAUF perbuatan ini dianggap sebagai "syirik", amalan mereka tidak diterima oleh Allah.

wallahua'lam...

Monday, May 17, 2010

SEMPENA HARI GURU - 16 MEI 2010



Guru, cikgu, tuan guru, pendidik, sensei, ustaz, ustazah - apa saja panggilannya, semuanya merujuk kepada orang yang menyampaikan ilmu. Secara umumnya, ia tidak terhad kepada ilmu-ilmu yang baik sebagaimana diajar di sekolah-sekolah atau pusat-pusat penyebaran ilmu sahaja. Kalau yang diajar itu ilmu yang baik, maka baiklah jadinya dan begitulah sebaliknya.

Bila ada guru, adalah muridnya. Tidak kiralah budak-budak atau orang dewasa. Bukankah menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim dari dalam buaian hingga ke liang lahad? Bak kata orang putih (mat saleh) from cradle to the grave. Banyak sebabnya, antaranya sebab munculnya ilmu-ilmu baru setiap masa. Di sana sini orang kembangkan (develop) ilmu-ilmu sedia ada, cipta benda-benda baru untuk kesenangan anak-anak generasi akan datang. Juga sebagai kesinambungan ilmu itu sendiri di masa akan datang. Dengan ilmu-ilmu inilah lahirnya golongan cerdik pandai, pemikir, teknologi canggih, macam-macam lagi...





Amatlah besar tanggungjawab si penyampai ilmu, maka besar jugalah pahala atau dosanya. Kalau si guru menyampai ilmu yang merosakkan, maka besarlah dosanya. Kalau ilmu yang disampaikan itu baik, maka besarlah pahalanya. Seorang guru tidak mungkin hanya ada seorang murid, pastinya ramai. Sebab itu pahala atau dosanya juga besar. Apatah lagi bila ilmu yang telah disampaikan oleh si guru disampaikan pula oleh si murid kepada adik-adiknya, kawan-kawannya, suku-sakatnya, murid-muridnya, dan seterusnya kepada yang lain-lainnya. Pahalanya ibarat bisnes multilevel. Bila semakin ramai yang mengajar, mengamal dan menggunakan ilmunya, makin besarlah pahalanya dan tidak berkesudahan sekalipun si guru telah tiada. 

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila matinya seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh yang mendoakan akan dirinya."

Di kesempatan ini, jutaan terima kasih buat guru-guru saya (maaf, setakat yang saya masih ingat) yang telah banyak mendidik saya - dan di sini saya ingin mengucapkan  


SELAMAT HARI GURU, JASAMU DIKENANG



Thursday, May 13, 2010

Sesungguhnya Kita Harus Bersyukur II



Pada suatu hari Allah s.w.t memerintahkan malaikat Jibril a.s untuk pergi menemui salah satu makhluk-Nya iaitu kerbau. Ia menanyakan pada si kerbau apakah ia senang telah diciptakan Allah s.w.t sebagai seekor kerbau.Malaikat Jibril a.s segera pergi menemui si kerbau.

Pada waktu siang yang panas itu, si kerbau sedang berendam di sungai. Malaikat Jibril a.s mendatanginya kemudian bertanya kepada si kerbau, “Wahai kerbau apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai kerbau?” Si kerbau menjawab, “Masya-Allah, alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menjadikan saya sebagai seekor kerbau, daripada saya dijadikan-Nya sebagai seekor kelawar yang ia mandi dengan kencingnya sendiri.“ Mendengar jawapan itu Malaikat Jibril a.s segera pergi menemui seekor kelawar.




Malaikat Jibril a.s mendatangi seekor kelawar yang siang itu sedang tidur bergantungan di dalam satu gua. Kemudian bertanya kepada si kelawar, “Wahai kelawar apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah s.w.t sebagai seekor kelawar? “Masya-Allah, alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menjadikan saya sebagai seekor kelawar daripada saya dijadikan-Nya seekor cacing. Tubuhnya kecil, tinggal di dalam tanah, berjalannya sahaja menggunakan perutnya,” jawab si kelawar. Mendengar jawapan itu pun Malaikat Jibril a.s segera pergi menemui seekor cacing yang sedang merayap di atas tanah.



Malaikat Jibril a.s bertanya kepada si cacing, “Wahai cacing apakah kamu senang telah dijadikan Allah s.w.t sebagai seekor cacing?” Si cacing menjawab, “Masya-Allah, alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menjadikan saya sebagai seekor cacing, daripada dijadikan-Nya saya sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal soleh ketika mereka mati, mereka akan diseksa selama-lamanya.”


Gambar sekadar hiasan

Sesungguhnya Kita Harus Bersyukur



Sesungguhnya dalam setiap kehidupan kita setiap hari, sentiasa ada yang positif dan negatif, yang baik dan buruk. Segala yang baik akan kita ambil sebagai teladan dan galakan untuk kita bergerak ke hari-hari seterusnya. Segala yang buruk selalunya akan membuatkan kita kecewa, marah atau setidaknya akan menjatuhkan kita.

Adakah yang negatif atau yang buruk itu akan selalunya begitu? Adakah sebarang makna di sebaliknya?




  • Untuk suami/isteri yang tidur berdengkur di waktu malam, kerana beliau tidur di sisi kita bukan dengan orang lain.
  • Untuk anak/adik perempuan kita yang mengomel apabila mencuci pinggan, kerana itu bermakna dia berada di rumah, bukan dijalanan berpeleseran.
  • Untuk cukai pendapatan yang kita kena bayar, kerana itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.
  • Untuk pakaian kita yang dah tak muat, kerana itu bermakna kita cukup makan.
  • Untuk lantai yang perlu dimop, tingkap yang perlu dilap, dan rumah yang perlu dikemas, kerana itu bermakna kita mempunyai tempat tinggal.
  • Untuk bunyi bising jiran-jiran, kerana itu bermakna kita masih lagi boleh mendengar.
  • Untuk timbunan pakaian yang perlu dicuci/digosok kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.




  • Untuk keletihan/kesakitan otot selepas seharian bekerja, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk kerja kuat.
  • Untuk tempat letak kereta yang jauh daripada lif, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk berjalan.
  • Untuk jam loceng yang berdering pada waktu pagi, kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut...




Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yang kita dapat...dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada..

RENUNGKANLAH...