MY FOLLOWERS

Sunday, October 31, 2010

Artikel - Nafkah Batin: Bukan Sekadar Keperluan Seks (18SX)

Credits to: - 


"Eerrrr... you nak kee?"
"Hihihik, malu la...eemmm.. kalau you nak, I pun nak laa..."

Salam...


Tidak semua wanita yang tidak mahu berkahwin itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar. Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita ingin mencari lalaki yang berilmu dan beramal diatas segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt.

Oleh itu mereka terpaksa bertangguh untuk mendirikan rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang beramal saleh di akhir zaman ini ibarat payahnya mencari sebutir mutiara asli. Sebabnya, ramai suami dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja.

Kita percaya hampir ke semua suami berjaya menunaikan tanggungjawabnya di dalam memberi nafkah zahir
(seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada ahli keluarganya. Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu.

Bila sesempit itu pandangan mereka, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai mengaji Al-Quran, cuai berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.







Nabi saw telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:

"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."




"Aduuiii...hancusss!"


 

Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka. Nabi saw pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud:

"Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardhu ain iaitu tauhid, fekah dan tasauf. tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya aqidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Contohnya, mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul. Mempercayai rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam.





Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmannya bermaksud:

"Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi seorang suami memerintahkan isterinya (dan mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan sunat)."

Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.

Tujuan mempelajari ilmu tasauf pula supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub (hairan kepada diri sendiri) sombong dan lain-lain lagi.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isterinya sekiranya ada, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.






Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama "Beruk punya anak1" maka lahirlah watak beruk pada si anak yang sukar untuk dilentur perangainya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibu bapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.

Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt. Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.






Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.

Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar.
Semoga dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.

Ibnu Abbas pernah berkata: "Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka."

Artikel - Hentikan Percaya Kepada Mitos Ketika Membeli Ubat (18SX)




Salam...

Kerana wujudnya kepercayaan pelanggan, maka perniagaan ini menjadi berleluasa. Ramai juga di kalangan kita seperti lebih mempercayai kata-kata pengamal perubatan tradisional ketika membeli ubat, berbanding doktor pakar yang mampu memberikan khidmat nasihat yang lebih berguna. Malangnya, itulah yang terjadi saban hari. Adakalanya terkilan juga, kerana ia seperti tiada henti. Habis cerita satu jenama, yang lain pula muncul. Masyarakat kita pula ada sesetengahnya terus percaya tanpa usul periksa. 

Testimoni yang diceritakan oleh si penjual ubat memanglah sedap didengar. Segala yang indah sahaja disebutkan, barangkali menjaga reputasi perniagaan atau mengelakkan pelanggan lari. Si polan berjaya mengatasi masalah sekian sekian dan sekian setelah menggunakan produk-produk berkenaan dalam jangka waktu tertentu. Bagaimana pula yang mengalami kesan sampingan atau yang tidak berjaya mengatasi masalah mereka sebagaimana diwar-warkan oleh si penjual? Pasti akan didiamkan sahaja dan topik perbualan akan ditukar! Seperkara lagi, adakah ubat-ubatan berkenaan sudah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Pada pandangan saya, tidak terhad kepada 'ubat kuat' sahaja, malah apa sahaja jenis ubat haruslah mendapat kelulusan KKM untuk dipasarkan.




Harus diingati, setiap individu secara dalamannya adalah berbeza. Maksudnya jika dilihat dari kaca mata umum, ada yang mempunyai ketahanan badan yang kuat, ada yang mempunyai alahan pada perkara tertentu (contoh: bulu haiwan, makanan laut, habuk, dsb.) Maka boleh jadi produk ubat jenama berkenaan berkesan kepada seorang dan tidak berkesan pada seorang yang lain. Sebab itulah disarankan mendapatkan nasihat doktor bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk.




Untuk gambaran lebih jelas, di sini saya sertakan petikan dari Mingguan Wanita buat tatapan pembaca dan pengikut blog ini.

Pada orang yang kuat mentalnya dia tidak memerlukan sebarang ubat kuat, bahkan ubat kuat lebih banyak mitos untuk menguatkan daya seksual seseorang lelaki. Apabila dia mengambil ubat kuat dengan sendirinya mindanya percaya bahawa dia sedang kuat, dan dari situlah kekuatan itu pun datang.

Pada saya ia adalah kesan psikologi. Apatah lagi apabila ubat kuat sekarang ini dikaitkan dengan racun, kekuatan serta-merta yang diperoleh boleh jadi sebab adanya unsur-unsur yang tidak dibenarkan itu sebab ia boleh menjejaskan kesihatan pada jangka masa panjang.

Menteri Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat untuk meningkatkan tenaga batin lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.

Menurutnya, rata-rata ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil. Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan Erectile Dysfunction yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi daripada seorang doktor.

Kesan sampingan ubat itu sangat berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor. Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan.

Antara kemudaratan ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Pengalaman membantu
Jadi, mengapa terpengaruh oleh ubat kuat? Anda lebih tidak perlu terpengaruh oleh produk-produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki yang sekarang ini semakin dipelbagaikan dan menjadi-jadi dalam bentuk minuman seperti kopi dan teh lemon ais.

Apa yang dikatakan memberi tenaga serta-merta itu kadang-kadang langsung tidak berlaku. Andainya berlaku, ia adalah kerja mental anda, iaitu apabila anda minum minuman berkenaan, diri percaya akan mendapat kekuatan, lantas otak pun memberikan pelbagai jalan hingga akhirnya anda benar-benar kuat.

Pengasas majalah “Playboy”, Hugh Hefner kononnya berterima kasih kepada pil perangsang seks, Viagra kerana memberinya tenaga untuk kekal sebagai kaki perempuan sehingga berusia 84 tahun.

Hefner mendedahkan, “Mujurlah ada Viagra, tetapi pengalaman turut membantu.” (Agensi 5 Ogos 10) Perhati baik-baik ayat pengalaman turut membantu. Pengalaman itu adalah kerja mentalnya. Tambahan lagi, tiada siapa tahu apa sebenarnya terjadi. Apakah memang sebenarnya Hefner dibantu Viagra atau tindak balas psikologi yang sebenarnya telah mengambil tempat.

Dan siapakah yang dapat memastikan Hefner bercakap benar tentang Viagra atau hanya sebagai salah satu tektik dia untuk berselindung? Atau siapa tahu dia ada kepentingan terhadap industri perniagaan Viagra itu sendiri.

Sebagaimana pukau juga adalah disebabkan oleh unsur mistik, ia juga boleh terjadi oleh kesan psikologi. Ramai sungguh orang yang secara mudah sahaja memberikan wang pada orang yang tidak dikenali apabila mendengar cerita susah.

Itu bermakna andainya unsur mistik sebagai puncanya, pengaruh psikologi tidak kurang mengambil tempat. Pukau boleh berlaku melalui hembusan asap rokok, tenungan mata, perbualan, minuman, perbualan dalam telefon dan SMS, membuang najis dan membuang pakaian buruk di hadapan rumah. Namun pukau juga boleh terjadi apabila anda membenarkan diri anda dipukau dan percaya diri sedang, akan atau telah dipukau.




Pertimbangkanlah dengan berhati-hati agar tidak menerima kesan sampingan di kemudian hari.

Wednesday, October 27, 2010

Hidupan Liar - Haiwan Spesis Baru

Credits to: Yahoo News, BOM321


Salam...

NAGOYA, Japan (AFP) – Spesis haiwan yang sebelum ini asing kepada dunia luar kini ditemui di hutan hujan Amazon pada kadar satu setiap tiga hari, kata pihak alam sekitar WWF dalam laporannya disiarkan pada hari Selasa.

Berdasarkan kajian, ular anakonda sepanjang sebuah limosin, catfish bersaiz gergasi yang memakan monyet, spesis labah-labah bertaring biru dan katak dengan duri beracun antara 1,220 jenis haiwan dan tumbuhan yang ditemui dari tahun 1999 hingga 2009.

"Laporan ini dengan jelas menunjukkan kepelbagaian hidupan yang menakjubkan dan luar biasa terdapat di Amazon," kata Francisco Ruiz, Ketua Inisiatif Hidupan Amazon WWF kepada wartawan ketika pelancaran.

"Tetapi kawasan ini berada dalam keadaan tertekan berikutan kedatangan manusia. Pemandangannya begitu cepat berubah."

Berdasarkan maklumat WWF, kegiatan pembalakan dan pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian seperti perladangan lembu dan ladang kelapa sawit telah menyebabkan 17% daripada kawasan Amazon, dua kali saiz negara Sepanyol itu musnah sepanjang 50 tahun yang lepas.


Berita penuh (dalam bahasa Inggeris sahaja) KLIK SINI

Anda juga boleh lihat Spesis Baru Ditemui di Amazon


 Apistogramma baenschi


 Anaconda boliviana


 Nymphargus wileyi


 Anolis cuscoensis


 Ephebopus cyanognathus


 Pyrilia aurantiocephala i


Ranitomeya amazonica

 
 Inia boliviensis


Eunectes beniensis


Antara spesis baru yang ditemui di Papua New Guinea. Anda boleh klik di sini untuk penerangan ringkas mengenainya.

 Ditemui di tapak kajian 1590 m di atas paras laut ketika tinjauan biodiversiti di pergunungan Nakanai, Papua New Guinea.


 Tidak seperti katak biasa, katak jenis ini menetas di darat atau di pokok. Apabila telurnya menetas, ia akan terus menjadi anak katak (froglet) tanpa melalui peringkat berudu (tadpole)


 Saintis Piotr Naskrecki dan David Rentz menemui sekurang-kurangnya 20 spesis baru. Caedicia bermata biru memakan bunga-bungaan yang ada pada pokok yang tinggi


Salah satu daripada spesis dari kumpulan Litoria genimaculata yang mempunyai kepelbagaian warna yang ekstrim dan ada warna kuning pada tekaknya. Ditemui di kawasan rimbun dedaunan di sepanjang sungai hutan hujan di pergununngan Muller Range.


Ada lagi yang menarik. Tidak ditemui sebarang berita mahupun nama saintifik berkaitan belalang jenis ini, hanya gambar.





Tuesday, October 26, 2010

Hiburan - Ultraman 2009: Ada Unsur Iblis dan Dajjal

Credits to: Blog HH, Iskandar Fateh

 
Salam...



Kita kini sudah berada di akhir zaman. Kebelakangan ini industri hiburan Hollywood juga kian berani menghasilkan filem yang memaparkan unsur berkaitan Dajjal. Secara tidak sedar, mereka cuba menyampaikan mesej kedatangan Dajjal yang kian hampir melalui medium hiburan. Sebelum ini, saya sendiri juga sudah banyak membaca mengenainya sama ada di blog-blog mahupun melalui buku-buku berkaitan dengannya. 

Sebelum ini, saya tertarik dengan post di laman web ini yang mengulas mengenai filem Valhalla Rising yang memaparkan biografi sejarah Dajjal. Sinopsis filem Valhalla Rising turut disediakan.

Walaubagaimanapun, maklumat yang terbaru dari blog hasrulhassan turut mendedahkan terdapatnya unsur berkaitan Dajjal dalam filem keluaran Tsuburaya Production (Jepun) - Ultraman 2009: Ultra Galaxy. Anda juga boleh klik di sini untuk ulasan selanjutnya.


Sila tonton trailer di bawah sehingga akhir.





Medium hiburan sama ada lagu, filem, iklan sememangnya menjadi alat pihak tertentu bagi menyampaikan mesej di bawah sedar. Oleh itu, sentiasalah berhati-hati sekalipun ketika berhibur.

Berita - Adik Ipar Tony Blair Masuk Islam

Credits to: Ustaz Mohd Khalil


Salam...





LONDON 26 Okt. - Adik ipar Tony Blair, Lauren Booth kini memeluk Islam kerana kagum dengan kesucian agama itu selepas melawat Iran enam minggu lalu.

Booth yang merupakan seorang wartawan penyiaran berkata, beliau mendapati Islam banyak memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada umatnya.

“Nama saya ialah Lauren Booth dan saya adalah penganut agama Islam.
“Saya mendapati umat Islam adalah sangat penyayang dan saya bangga menjadi sebahagian daripada mereka,” katanya.

Booth ialah adik tiri kepada isteri bekas Perdana Menteri Britain itu, Cherie yang merupakan peguam hak asasi. - AFP
 
 
Bagi umat Islam, ini adalah berita baik. Beliau yang bekerja di sebuah rangkaian berita bahasa Inggeris  di Iran, Press TV telah membuat keputusan memeluk Islam 6 minggu lalu dan terus memeluk Islam sebaik pulang ke Britain.


Lagi sumber berita ada di sini

Monday, October 25, 2010

Berita - Kerana $75....

Credits to: Yahoo News


Salam...

"Buat penat jer datang. Dia tak bayar duit api ke?""
"Tu la pasal..hari tu aku dah suruh dia bayar, tapi dia duk tangguh-tangguh." - Dialog sekadar rekaan


Itulah yang berlaku terhadap Gene Cranick apabila rumahnya hangus dijilat api. Tiada bayaran, tiada perkhidmatan. 

Di Obion County, pemilik rumah mesti membayar $75 setahun untuk perkhidmatan perlindungan kebakaran dari bandar terdekatnya di Fulton Selatan. Sekiranya mereka tidak membayar untuk perkhidmatan berkenaan dan jika berlakunya kebakaran ke atas kediaman mereka, pihak bomba tidak akan bertanggungjawab. Pihak bomba hanya akan berada di kawasan halaman mereka tanpa mengambil sebarang tindakan.

Apabila rumahnya dijilat api, tiada apa dapat dilakukan selain menghubungi 911. Ketika membuat panggilan, dia menawarkan untuk membayar semua perbelanjaan berkaitan, namun pihak bomba Fulton Selatan enggan mengambil sebarang tindakan.


Hangus kerana belum membayar wang perkhidmatan perlindungan kebakaran


Pihak bomba hanya bertindak apabila jirannya, yang telah membayar wang perlindungan berkenaan menghubungi 911 kerana khuatir api merebak ke kediaman mereka. Apabila tiba, bomba hanya memerhati kediaman Cranick hangus dan menyembur air ke kediaman jirannya bagi mengelakkan ia terbakar.

"Saya belum membayar $75 dan itu yang mereka mahu, $75, mereka tidak peduli berapa banyak yang terbakar." Gene Cranick memberitahu WPSD, cawangan NBC di Kentucky. "Saya fikir mereka akan datang dan padamkannya walaupun anda belum membayar $75, tapi saya silap."


Lagi berita penuh, klik sini dan klik sini.

Artikel - Jambatan Paling Menakutkan - Sanggupkah Anda Melintasinya??


Credits to: Yahoo! Travel




Salam...

Jambatan yang menakutkan ada di mana-mana sahaja di dunia. Dibina dalam pelbagai bentuk, saiz dan ketinggian daripada jambatan gantung (suspension bridge) yang dibina dengan konkrit hinggalah yang dibina hanya dengan tali. Setiap jambatan dibina dengan tujuan sebagai penghubung satu bahagian darat kepada satu bahagian darat yang lain. Sesetengahnya mengandungi elemen ketakutan. Semestinya, melintasinya akan memberikan pengalaman yang mendebarkan.

Sesetengah pengembara melintasi jambatan ini sekadar untuk merasai sensasi (thrill). Tidak tahulah sama ada mereka sendiri terlalu berani atau gila melakukannya.





Trift Suspension Bridge, Switzerland
 
Lokasi: Trift Glacier, berdekatan bandar Gadmen di Swiss Alps.
Status: 328 kaki tinggi, 558 kaki panjang



Aiguille du Midi Bridge, France


Lokasi: Puncak Aiguille du Midi di Mont Blanc masif berhampiran Chamonix.

Status: 12,605 kaki atas paras laut.



  
Capilano Suspension Bridge, Canada


Lokasi: North Vancouver, British Columbia, melintasi Sungai Capilano

Status: 450 kaki panjang; 230 kaki tinggi



Carrick-a-Rede Rope Bridge, Northern Ireland


Lokasi: Berhampiran Ballintoy di County Antrim, Northern Ireland.

Status: 65 kaki panjang; hampir100 kaki di atas batu yang di bawahnya.




Chesapeake Bay Bridge, Maryland


Lokasi: Merangkumi Chesapeake Bay bagi menghubungkan bahagian pantai timur dan barat Maryland

Status: Hampir 5 batu panjang; 186 kaki tinggi di puncaknya.



Hussaini Hanging Bridge, Pakistan

Lokasi: Di perkampungan Hussaini di utara Pakistan, melintasi Sungai Hunza

Stats: Banjir menenggelamkan jambatan ini pada Mei 2010. Walaubagaimanapun, kerana ia menarik sebagai destinasi popular di kalangan pengembara, jambatan ini dikatakan dibina semula.




Mackinac Bridge, Michigan


Lokasi: Pertengahan Semenanjung Michigan

Status: 5 batu panjang; 199 kaki atas paras laut.



Monkey Bridges, Vietnam


Lokasi: Sekitar kawasan Mekong Delta di selatan Vietnam.
Status: Jambatan ini dibina dengan tangan oleh penduduk tempatan menghubungkan bandar-bandar. Yang terbaru dibina dengan konkrit. 



Puente de Ojuela, Mexico


Lokasi: Bandar berhantu di Ojuela, lombong lama di utara Durango, Mexico.

Status: 1,043 kaki panjang; 2 kaki lebar; 360 kaki di atas jurang. 


Royal Gorge Bridge, Colorado


Lokasi: Royal Gorge, Colorado, berdekatan Sungai Arkansas.
Stats: 969 kaki di atas jurang; 1,260 kaki panjang.


Jika ingin mengetahui lebih lanjut, ada lagi DI SINI.

Sunday, October 24, 2010

Sekadar luahan - Sakit hati tak??

Credits to: Blog Koleksi Hadis Nabi, NurulBadiah Lai


Salam...

Membaca post dan komen di blog ini sedikit sebanyak mengingatkan saya kembali kenangan di zaman persekolahan. Bukanlah mengenai keseronokan melakukan aktiviti yang ingin saya highlight di sini tetapi lebih kepada sikap individu di sekeliling.

Bila difikirkan, di kebanyakan waktunya saya terkilan dengan sikap yang diamalkan oleh masyarakat kita apabila melihat ada mana-mana insan lain yang ingin berjaya dan maju dalam hidup. Kata-kata berbaur penghinaan, kutukan, hentaman, dan sebarang perkataan yang bersifat menjatuhkan menjadi amalan sejak sekian lama. Pedih, ngilu, kecewa, malah ada yang mengalirkan air mata - itulah antara 'bayaran' yang diterima semata-mata untuk berjaya.

Apabila kita melakukan sesuatu yang sudah betul dan kiranya sempurna di mata kita, pastinya ingin mendengar kata-kata positif daripada komentator. Ibaratnya bila menghantar kertas ujian, pastinya mengharap agar mendapat markah tinggi atau diberi A sebagai penghargaan. Tetapi sebaliknya terjadi. Bukan kata-kata galakan, tetapi kutukan yang tidak terhingga yang adakalanya tidak berperikemanusiaan dilemparkan. Peritnya untuk mendapat penghargaan. Apakah salah kerja-kerja yang saya buat?


Dengki dan dipergunakan


 Buat la lagi!! Memang nak kene lagi ni!!


Apabila memikirkan mengenai sikap si pendengki, apakah agaknya yang mereka mahu daripada orang lain? Apakah sebenarnya yang membuatkan mereka merasa lebih baik daripada orang lain sehingga sanggup bersikap begitu? Maksud saya, adakah kerana mereka punya lebih banyak harta? Lebih berpengaruh? Tidak suka orang lain lebih daripada mereka? Atau mereka sekadar mahukan perhatian agar dapat merasa bangga bila dilihat dan disanjung? Kononnya agar yang melihat berkata, "Cheewwaaahhh.. hebat la tuu.." dan seumpamanya apabila melihatnya. Atau pun ia sekadar perasaan manusia yang sentiasa tidak pernah puas dengan apa yang ada, menjadikan semuanya seperti tidak kena di matanya sedangkan segalanya tiada masalah. Tidak terfikirkah mereka akan perasaan orang yang didengki?

Saya tidak berpeluang merasai bagaimana perasaan mendengki itu, kerana saya sering menjadi mangsa. Ada juga ketikanya di sekolah dahulu, saya dibuli. Sekali-sekala terasa juga rimasnya dan memberontak. Saya sendiri tidak mengerti. Kenapa mesti ada di kalangan kawan sekolah menjadikan saya seperti musuh sedangkan saya bukanlah jenis yang suka 'main kasar'? Bukan hanya ketika di sekolah, malah berlanjutan sehingga di alam pekerjaan. Seringkali saya ditegur oleh orang sepejabat ketika itu, sebilangan rakan yang datang kepada saya nampak seperti meminta bantuan itu dan ini sebenarnya sekadar ingin mempergunakan kelebihan saya. Walaupun sekadar meminta bantuan berkaitan perkara kecil.

Sewaktu di sekolah dahulu, datang seorang rakan dari kelas lain ke kelas ketika saya menyiapkan kerja Pendidikan Seni. Tanpa memberi salam, terus ke meja saya dan mengejek lukisan saya, "Dah laa..busuk la, busuk!" Saya diejek begitu beberapa kali sebelum dia beredar. Saya hanya diam, geram dalam hati hanya Allah yang tahu. Di waktu yang lain, saya diejek oleh orang yang sama di khalayak ramai, "Balik la, mabuk!!" apabila dilantik memegang jawatan Presiden di kelab yang disertai. Terkejut bila mendengar perkataan 'mabuk' dihambur, dalam hati terasa pedih dan ngilu.

Di waktu lain, dia datang lagi dengan niat meminta bantuan untuk menyiapkan lukisannya yang belum siap. Bukan sedikit dan dia turut datang bersama beberapa rakannya yang lain minta saya tolong siapkan. Itulah namanya kerja saat akhir. Bosan, saya hanya siapkan semuanya secara 'cincai'.. Jika anda di tempat saya, sedikit sebanyak akan timbul juga rasa sakit hati. Mahu sahaja dicekik-cekik dan dihumban ke luar kelas!

Barangkali kerana tidak pernah terlintas untuk bertindak membalas dendam ketika itu, alhamdulillah saya diberi peluang untuk terus memegang jawatan tersebut untuk 3 tahun seterusnya di kelab yang sama.


*Dushh!! dusshh!! dduussh!!*

Lagi teruk

Sebilangan lagi suka menggunakan kaedah dari jarak jauh. Sihir dan ilmu hitam masih menjadi pilihan meskipun dunia semakin diasak dengan kemodenan. Adakalanya yang diinginkan si pendengki itu hanyalah perkara kecil - berebutkan harta, pasangan, persaingan perniagaan (sekadar menyebut beberapa contoh). Sekali mangsa mungkin tidak membalas, ia masih menyebabkan ada mangsa sakit dalam tempoh lama, hidup tidak menentu, hampir gila, malah ada yang membawa maut hanya kerana sebab yang mudah - dengki.


Sikap dengki ini sentiasa ada dalam masyarakat, tidak akan padam, dalam diri siapa sahaja, di mana-mana, dalam apa juga bidang. Satu jalan yang mudah, kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang mengajar kita agar sentiasa bersyukur dengan apa yang kita perolehi. Allah menjadikan manusia itu dengan berbagai rupa dan sifatnya, dalam masa yang sama memberikan perasaan cemburu dalam diri kita agar perasaan ini digunakan untuk melihat dan menilai kejayaan orang lain dan menjadikan kejayaan mereka sebagai motivasi agar kita juga boleh berjaya seperti mereka.


Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. (Surah Al-Hujuurat: ayat 11)

Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal di dalam Al-Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang jahil.



Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Hujuurat: ayat 12)

Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan dari mereka. Mereka mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah dari mereka.


....... Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (Surah Az-Zumar: ayat 9)
 

Hadis : Dari Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan. (1915) [Sahih Bukhari]


Rujukan: Koleksi Hadis Nabi & Penggerak Muslimin

Saturday, October 23, 2010

Hiburan - Aqua Man

Credits to: - 


Salam...

Kepada peminat Smallville yang terus setia dengan siri ini, pasti ada yang tahu bahawa siri ini banyak mengetengahkan barisan wira dari DC Universe dalam versi yang lebih baru dan segar. Selain dari siri ini, pihak produksinya sendiri sudah pun menghasilkan satu lagi siri yang dikira sebagai spin-off kepada Smallville, iaitu Aquaman

Menampilkan karakter Aquaman sebagai watak utamanya, dilakonkan oleh Justin Hartley yang membawa watak Arthur A.C. Curry aka Aquaman. Berbanding dengan siri Smallville, Justin memegang watak Oliver Queen aka Green Arrow manakala karakter Arthur A.C. Curry aka Aquaman pula dilakonkan oleh Alan Ritchson. Hanya taipkan aquaman di kotak Search.


Aquaman trailer




Episod pertama siri Aquaman sudah ada di Youtube (lama dah..) Anda boleh taip 
(1/5) Aqua Man Pilot
(2/5) Aqua Man Pilot
(3/5) Aqua Man Pilot
(4/5) Aqua Man Pilot
(5/5) Aqua Man Pilot

di kotak Search di Youtube untuk terus menontonnya. Satu episod dipecahkan kepada 5 bahagian.


Smallville episod Aqua



atau Smallville Aquaman

Anda juga boleh membaca ulasan selebihnya di sini dan di sini.

Setakat yang diketahui, siri ini sempat disiarkan di televisyen (CW) hanya 1 episod berikutan beberapa masalah berkaitan penyiarannya. Walaubagaimanapun, siri ini menjadi siri yang paling banyak dimuat turun di iTunes.

Selamat menonton!!

Thursday, October 21, 2010

Sekadar luahan - Hari-hariku Yang Lapang...Seronoknya!!

Credits to: - 


Salam...

Bagi sesiapa yang yang berkelapangan, pastinya merasa bosan jika masa yang ada tidak diisi dengan aktiviti yang memberi manfaat. Itulah sekurang-kurangnya. Tidak kiralah semudah duduk di kerusi malas sambil membaca buku kegemaran atau ke sungai berhampiran untuk memancing. Yang sudah pencen atau bersara pasti lebih terasa kekosongan dalam waktu yang ada.

Bagi yang sibuk, keadaan sebaliknya berlaku. Mahu siapkan segalanya secepat mungkin dengan harapan agar sejumlah masa yang seterusnya akan menjadi 'masa lapang' untuk diisi dengan bermacam perkara yang bermanfaat.

Jika tidak membaca, menulis di blog adalah pilihan saya. Kebelakangan ini, waktu saya di pejabat juga banyak dihabiskan dengan menulis di blog ini..



Tatkala sibuk (baca: sibuk giler)

Kepala akan menjadi tempat paling sesak dengan maklumat dan pelbagai aktiviti pejabat ketika waktu sibuk. Menjawab telefon menjadi perkara pertama ditolak ke tepi (hahahaha!!) Kerani satu-satunya yang akan saya 'mangsakan' untuk menjawabnya. Jawapannya (kepada pemanggil di telefon): "Engineer kita? Hhmm..ntah, macam sibuuukk jer. Banyak betul benda kat tangan dia.."

Masakan tidak, kerja-kerja yang sudah sedia berselerak di atas meja sudah cukup menyibukkan kedua-dua tangan hampir tidak tertanggung. Adakalanya belum pun sampai hujung bulan, bos akan bising dengan kata-kata kurang menyenangkan agar tuntutan (claim) projek dihantar. Asalkan berjumpa, mulut celuparnya tidak pernah diam. Pasti ada yang akan diserangnya. Tidak kiralah di hadapan staf atau tetamu.

Melihat bilik bos senyap tidak 'berpenghuni' antara perkara yang boleh dikatakan ditunggu-tunggu. Bak kata pepatah Inggeris; When the cat is away, the mice will play. Inilah masa untuk melayari facebook, dll. Saya pula akan menulis di blog.



Pernah di suatu ketika, sekitar awal Mei yang lalu, hanya tinggal saya bersama seorang jurutera lain sahaja di pejabat sepanjang hari. Sunyi. Senyap tanpa bunyi-bunyi yang menyakitkan jiwa. Udara dihirup terasa segar buat seketika. Komputer tidak terpasang sehingga waktu pulang. Kerja-kerja dokumentasi yang berlambak dibereskan.

Bos dan staf yang lain tidak diketahui ke mana. Pejabat yang baru dikemas saya 'sepahkan' dengan fail-fail projek yang akan saya kemaskini. Duduk bersila di atas lantai pun, tiada siapa akan langgar (hahaha!!)


Cuba melepaskan diri

Ibarat air laut, ada pasang surutnya. Menghala ke penghujung tahun, suasana lapang itu kembali. Progres projek yang kurang berjalan kebelakangan ini menjadikan masa di pejabat turut longgar dan mengundang kemalasan ke tahap hampir maksima. Para jurutera yang merancang untuk bertukar kerja turut berasa semakin kurangnya tekanan dalam kerja yang dibuat. Tiada pengambilan pekerja baru buat seketika. Kerja-kerja di pejabat kontraktor membuatkan saya pening kepala dengan bermacam-macam kerenah manusia yang datang dan pergi entah dari mana...

Hari ini, saya belum melakukan apa-apa sejak masuk ke pejabat pada jam 8.30 pagi tadi. Projek-projek yang sedia ada pun semuanya sudah mencapai 95% hingga 100% siap. Jadi banyaklah masa terluang.




Kesempatan turut diambil untuk mengisi borang permohonan pekerjaan lain. Agar dapat sama-sama mengajar bos dan pihak pengurusan, kami sama-sama berpakat sekurang-kurangnya untuk berhenti serentak menjelang hujung tahun ini. Wallahualam, itu baru perancangan. Berjaya atau tidak, itu soal kedua. Memang, kerja di sini menjadikan fikiran kami berserabut.

Jika ada rezeki saya, ingin sekali memiliki kerjaya yang stabil dalam masa yang sama mempunyai masa yang banyak, agar saya dapat isikan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat. Perjalanan hidup masih jauh, maka masih banyak yang perlu dilakukan. Meluangkan masa untuk membaca, melukis, beribadah, aktiviti kelab, mengajar anak-anak kecil dengan ilmu agama, itu antara yang bermain di fikiran.

Saya sendiri bercadang untuk bertukar kerja. Bidang perguruan adalah satu pilihan. Melibatkan diri dengan projek secara freelance turut memberikan satu fleksibiliti dalam pengurusan masa saya. Kerja makan gaji tidak membawa saya ke mana-mana setakat ini.

Sekiranya berkesempatan, ingin sekali saya bercuti sebelum memulakan kerjaya yang baru.

Wednesday, October 20, 2010

Animasi - Iron Man

Credits to: -


Salam...

Saya baru sahaja menemui video ini di YouTube. Kepada peminat, saya rasa anda mungkin teruja untuk melihat Tony Stark dalam versi animasi. Lebih handsome dan tidak terlalu berusia. Akan disiarkan di G4 pada 2011. Dihasilkan dengan kerjasama pihak Jepun dan Amerika.

Pada asalnya, saya hanya melayari blog ini untuk mengetahui perkembangan terbaru siri televisyen lain. Namun, saya tertarik melihat video kecil di bahagian atas sidebar di sebelah kanan blog tersebut.

Walaubagaimanapun, anda sudah boleh menonton Episod 1 yang sudah ada di YouTube ketika ini. Hanya taipkan iron man anime di ruangan Search laman web berkenaan.


Di sini saya letakkan video trailer siri animasi ini. Harap anda sukakannya.

Iron Man Anime (Series) Opening HQ HD 

 



Iron Man Anime (G4TV.com) HQ





Selamat berhibur!

Monday, October 18, 2010

Sekadar luahan - Alhamdulillah... Perkembangan Yang Baik..

Credits to: All bloggers


Salam...

Sekitar tiga hingga empat bulan kebelakangan ini, saya mendapati adanya pertambahan dalam bilangan penulis blog yang mengikuti perkembangan blog ini. Alhamdulillah..

Tiada sebarang paksaan dalam menyampaikan sebarang maklumat yang berguna atau menjadi pengikut mana-mana blog. Terpulang kepada individu, sekiranya dirasakan blog saya menarik, anda dipersilakan mengikutinya. Jika tidak, abaikan sahaja. Ibarat membuka kedai, ramai yang akan lalu sahaja atau singgah seketika. Pekedai cuma mempromosi dan menawarkan apa yang dijual. Segala keputusan untuk membeli itu di tangan pelanggan tanpa perlu dipaksa membeli oleh si tuan kedai.



Makin ramai pulak...


Saya akui dan bersetuju dengan sebilangan penulis blog lain, adalah sangat sukar untuk mendapat pengikut (follower) ketika di peringkat awal blog dibuka. Justeru, kepada para penulis blog (blogger) yang baru, mungkin pengalaman sebegini boleh dijadikan panduan dan motivasi agar tidak mudah berputus asa sekiranya ingin bertapak sebagai blogger. Teruskan menulis dan menjelajah ke blog-blog lain juga. Pasti sampai di suatu masa, akan ada yang singgah di blog anda.

Pastikan anda persembahkan kandungan yang menarik untuk dikongsikan bersama pembaca kerana blog ibarat sebidang tanah lapang. Apabila memiliki blog, terpulang kepada anda untuk menulis dan mencurahkan apa sahaja yang anda inginkan, yang terbuku di hati, dsb. sebagaimana anda boleh lakukan apa sahaja di atas sebidang tanah yang anda miliki (bina rumah, padang bola, bina sekolah, buka ladang, buat kolam, apa saja!). 

Setiap penulis ada gaya penulisan masing-masing. Ada idea, maklumat atau ada juga sesuatu yang ingin diluahkan. Bahasa dan gaya penulisan melambangkan sebahagian diri penulis berkenaan. Mungkin ada yang menyampaikan secara santai atau dengan bahasa pasar, usah risau. Yang penting, intipati atau kandungan (content) yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Segala yang baik yang disampaikan, jadikanlah sebagai panduan.


Saya turut menjadi pengikut blog lain


Kepada para blogger lama, teruskan menulis. Berikanlah tunjuk ajar anda kepada yang masih baru. Jadikanlah blog anda sebagai tapak menyebarkan maklumat berguna dan ilmu yang bermanfaat buat semua.

Terima kasih kepada semua pembaca dan pengikut. Harapan saya, dapat terus berkongsi pandangan dan idea daripada anda semua. Saya turut mengalu-alukan semua pembaca dan pengikut untuk ke blog saya. Komen bernas daripada anda juga dialu-alukan.